Wahai rahimku..
Tetaplah sabar dan kuat menanti,
Menanti hadirnya penghuni kecil,
Yang telah kian selalu meniti di bibirku,
Memohon pada Yang Esa..
Wahai rahimku..
Tetaplah setia kita percaya,
Pada takdir yang telah Allah ukir,
Pada waktu yang telah Allah simpankan untuk kita,
Pada jalan yang telah Allah siapkan untuk kita lalui,
Meski itu tidak pernah mudah..
Wahai rahimku..
Ada ketika tanganku mengusap lembut,
Perut yang tiada isinya,
Membayangkan apakah seindah itu perasaan,
Mereka yang membawa nyawa di dalamnya?
Apakah mungkin akan tiba waktunya,
Untuk aku turut berkongsi rasa dengan penghunimu?
Wahai rahimku..
Hari ini aku meminta pada Dia Yang Maha Mendengar,
Andainya waktu itu tidak akan pernah tiba untuk kita di dunia,
Semoga diambillah nyawa ini sebelum tiba umur senja,
Supaya kau tidak terus sepi tanpa penghuni,
Dan agar aku tidak merasa sakitnya,
Menua tanpa mereka yang memanggilku "Ibu"..
Wahai rahimku..
Tidak mengapa jika dunia tidak memihak kepada kita,
Kerana Allah pasti punya rencana yang paling hebat,
Dan engkau pasti akan menerima kedatangan penghunimu,
Di alam yang satu lagi..