******
Pagi Ahad itu, usai solat Subuh terus aku bersiap untuk pulang ke UTM Skudai. Ada kuliah yang perlu kukejar jam 8 nanti. Kalau gerak sekarang, sempatlah sampai tepat pukul 8, fikirku. Selesai bertudung, aku melangkah masuk ke kamar mak. Dia yang masih bertelekung, sedang duduk di atas katil, menunduk seperti kebiasaan. Tiub oksigen sudah hampir sebati dengan ruang pernafasannya. Masih kuingat suatu malam pabila mesin bantuan oksigen tiba-tiba tidak berfungsi. Tidak tidur nyenyak kami seisi rumah. Bimbang mak tidak dapat bernafas.
Aku duduk berteleku di hadapan mak sambil menyapanya lembut.
"Mak, harini Sasa balik Skudai tau. Nanti hujung minggu Sasa balik lagi, ya."
Mak mengangkat wajahnya dan menatap wajahku sambil tersenyum manis.
"Nanti siapa nak tolong angkat mak?" ujarnya perlahan.
Aku menahan airmata sambil memandang kakakku di sebelahnya. Tak mampu berkata apa-apa kerana bimbang termenangis di hadapan wanita yang telah melahir dan membesarkan aku. Sejak sebulan yang lalu, tubuh mak semakin lemah. Perlu dipapah, dimandikan, diangkat, dipakaikan lampin. Mak juga tidak boleh baring kerana nafasnya menjadi sesak setiapkali berbuat demikian. Tidurnya hanya dalam keadaan duduk di atas kerusi malas. Aku memang dilahirkan sebagai anak perempuan yang agak kurus namun kekuatanku agak luar biasa dan membolehkanku untuk membangunkan dan mengangkat mak berbanding kakak-kakakku yang lain.
Lantas aku capai dan kucup tangannya. Lama. Tidak semena-mena, tangan mak yang lembut membelai pipiku. Allahuakbar. Berat rasa hati nak meninggalkan dia yang kucinta. Masih terngiang-ngiang di telingaku gelak tawa mak dua malam lepas ketika aku mengajukkan tingkah lakunya sewaktu dia masih sihat dan bertenaga. Sejak diberitakan doktor tentang penyakit kanser peparunya 5 bulan yang lalu, itulah kali pertama aku melihat dia ketawa tanpa henti.
Aku lalu bangun dan mencium wajah mak yang kian layu. Pipinya, hidungnya, dahinya, semua kukucup sepuas hati. Entah kenapa kali ini terasa berat sungguh untuk aku berpisah darinya walaupun setiap minggu aku pulang bertemunya. Bagai ada yang menahan aku dari pergi. Aku berlalu masuk ke kereta selepas menyalami abah dan adik-beradikku yang lain sambil menahan sebak di dada. Hanya air mata yang menemani dua jam perjalananku.
******
Sudah dua hari aku meninggalkan mak di kampung tetapi rasanya seperti sudah bertahun lamanya. Tak sabar menunggu hari Khamis untuk pulang lagi bertemu kesayanganku itu. Hari itu, seperti biasa aku masuk bekerja. Sejak mak sakit, aku nekad untuk melakukan kerja sambilan bagi menampung perbelanjaanku memandangkan hampir setiap minggu aku memerlukan wang untuk pulang ke kampung. Aku bergilir-gilir dengan salah seorang kakakku memandangkan kami belum berkeluarga dan untuk pulang saban minggu bukanlah satu masalah buat kami berdua. Lagipun hanya abah dan adikku sahaja yang ada di samping mak di kampung. Sekurang-kurangnya ada yang membantu menguruskan mereka setiap hujung minggu.
Alhamdulillah, Kerjaku sangat mudah. Hanya bekerja dua hari seminggu, membantu menguruskan perniagaan waffle dan ice-blended di sebuah kafe kecil di kolej kediamanku dengan bayaran tiga ringgit sejam. Cukuplah untuk berulang-alik Skudai-Segamat-Skudai. Sedang aku khusyuk menaip abstrak untuk thesisku sambil menjaga kafe, aku menerima whatsapp daripada abangku di kampung yang mengambil cuti khas untuk menjaga mak ketika itu. Dia meminta kami adik-beradik untuk pulang. Aku buntu. Tanganku menggigil. Sebaik sahaja memaklumkan kepada bos ku, terus aku menutup lampu kafe dan mengunci pintu.
******
Jam 10 malam, aku yang pulang bersama kakakku tiba di perkarangan rumah. Keadaan sunyi. Kulihat mak sedang duduk berlunjur, menunduk di ruang tv rumah sambil dikelilingi abah, adik dan abangku. Aku lalu duduk di sebelah mak sambil memanggilnya. Pelik. Mak tidak mahu memandangku apatah lagi menyahut panggilanku. Tidak seperti selalu. Aku cuba mengangkat wajahnya namun dia seakan mengelak. Sempat kulihat matanya yang kian kelabu.
"Mu, anak awak balik tu mu." panggil abah, lembut.
Namun mak tetap menunduk. Satu demi satu adik-beradikku tiba di rumah dengan hidung yang merah. Masing-masing mengerumuni mak dan bergilir-gilir duduk di sebelah mak sambil memanggilnya. Sama. Mak masih tidak mahu memandang. Aku melihat airmata mereka berlinangan namun entah kenapa aku nekad untuk tidak menangis. Abah juga menangis. Mak takkan ke mana-mana. Mak akan ada dengan kita, jadi kenapa menangis? Hatiku keras seperti sengaja tidak mahu memahami situasi itu.
Malam itu, rumah mak terang dengan lampu yang sengaja tidak dimatikan. Seisi rumah berjaga menemani mak. Solat hajat, doa dan ayat al-Quran tidak henti-henti mengisi setiap sudut rumah.
******
15 Syaaban. Nisfu Syaaban. Mak sudah tidak mahu memakai tiub bantuan pernafasan. Selepas solat Subuh, kami membacakan Yaasin di bilik mak. Tidak sekejap pun kami biarkan mak berseorangan. Sentiasa mak diajar mengucap dan menyebut kalimah Allah. Kaki mak sudah mula sejuk. Anehnya, ada bau wangi pada telapak kaki mak. Bau yang tak pernah aku kenal. Sangat wangi dan menenangkan. Aku redha kalau sudah sampai masa untuk mak kembali kepada Sang Pencipta. Kakak sulungku sudah mula menghubungi jiran tetangga dan saudara-mara untuk mempelawa mereka menziarahi mak.
Jam 11.30 pagi, aku dan kakak-kakakku sekali lagi membacakan Yaasin untuk mak. Ketika itu jiran kiri dan kanan rumah, serta dua lagi teman rapat mak juga ada menziarahi mak. Sebaik sahaja selesai membacakan Yaasin, makcik-makcikku pun tiba sambil menangis menerpa mak. Setelah berbulan-bulan aku tidak melihat mak berbaring, pagi itulah kali terakhir aku menyaksikan mudahnya dia membaringkan badannya tanpa sedikitpun nafasnya tersesak. Abah yang duduk di sebelah mak tidak henti-henti menyebut nama Allah di telinga mak. Tepat jam 11.45 pagi, suami, anak-anak, jiran-jiran dan kakak-kakak menjadi saksi kepergian Puan Surati binti Japari selepas 5 bulan bertarung dengan kanser.
Aku bagaikan tersedar dari mimpi. Menatap wajah mak yang sudah tidak bernyawa, aku yakin aku kuat untuk menghadapinya. Aku cium kedua-dua pipinya yang masih hangat. Tidak puas. Aku cium pula dahinya sambil rambutnya kuusap lembut. Bau inilah yang bakal aku rindu. Wajah inilah yang bakal aku damba. Aku halakan pandanganku ke setiap sudut kamar. Yang ada hanyalah ratapan dan tangisan. Kedua-dua abangku sedang membantu menutup tubuh mak dengan kain batik. Kakak-kakakku berada di telapak kaki mak sambil mencium dan memeluknya dengan air mata yang berlinangan. Nurin, anak kakakku yang paling sulung, merangkap cucu mak yang paling tua, sedang menangis tersedu-sedan di penjuru katil. Umurnya baru 11 tahun. Di sisi lain, kulihat bahu abah bergegar meninggalkan kamar mak. Selebihnya sedang menangis berpelukan dan aku perasan pandanganku mula dikaburi air jernih. Ah, tewas juga.
******
Persis babak dalam drama, rumahku mula dikunjungi ramai manusia berpakaian hitam dan ada yang serba putih. Cuaca pada hari itu sangat nyaman dan syahdu. Gerimis yang menyapa seperti memahami kesedihan yang melanda. Ada yang membacakan Yaasin, ada yang membantu menguruskan jenazah. Surah al-Fatihah tidak henti-henti dibacakan. Sesekali ada yang datang dan memelukku, menyatakan simpati dan takziahnya kepada kami sekeluarga.
Aku hilang seorang ibu yang melahirkan aku. membesarkan aku, menyuapkan aku, memeluk aku ketika bangun dan jatuhku. Aku hilang seorang ibu yang bangga dengan anak-anaknya, seorang ibu yang sentiasa memenuhi keinginan anak-anaknya, seorang ibu yang sakit peritnya tidak pernah mahu menyusahkan anak-anaknya. Aku juga hilang doa seorang ibu, doa yang tiada hijab, doa yang membantu aku ketika susahku dan ketika jahilku. Aku hilang peluang untuk terus berbakti kepada dia yang aku paling sayang. Aku hilang peluang untuk naik ke pentas graduasi dengan dia di hadapanku, melambai penuh bangga. Aku hilang peluang untuk membelanjakannya gaji pertamaku. Aku hilang peluang untuk tua bersama-sama dengannya. Malah, pahala percuma bagiku setiapkali melihat wajah seorang ibu, juga sudah terhenti setakat hari ini.
Namun aku bersyukur, kebaikannya terbukti tatkala aku lihat manusia-manusia, baik yang aku kenal mahupun tidak, berpusu-pusu, bertolak-tolakan demi ingin melihat sucinya wajah mak selepas dikapankan oleh kami anak-anaknya dan bertambah bahagia tatkala melihat halaman rumah mak sesak dengan manusia, manakala jalan raya di hadapan rumahku berbaris dengan kereta dan motor yang diparkir di bahu jalan. Hari itu bukanlah hari cuti umum tapi alhamdulillah ramai yang datang dari jauh dan dekat untuk menziarahi mak buat kali terakhir. Dari rumah, sampailah ke masjid untuk disembahyangkan, hingga lah ke tanah perkuburan untuk dikebumikan, ramai makmumnya, ramai penadah tangan yang mendoakan.
******
"Ya Allah, ampunilah orang yang hidup dan orang yang mati di antara kami, orang yang hadir dan orang yang tidak hadir di antara kami, orang yang muda dan orang yang dewasa di antara kami, yang laki-laki dan perempuan di antara kami.
Ya Allah orang yang Engkau hidupkan di antara kami, hendaklah Engkau hidupkan dia atas ke-Islaman, dan orang yang Engkau wafatkan di antara kami, hendaklah Engkau wafatkan dia atas keimanan.
Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, selamatkanlah dia, maafkanlah dia, muliakanlah tempat singgahnya, luaskanlah tempat masuknya, mandikanlah dia dengan air dan salju. Sucikanlah dia dari kesalahan-kesalahan sebagaimana dibersihkannya baju putih dari kotoran. Berilah untuknya rumah yang lebih baik dari rumahnya, keluarga yang lebih baik dari keluarganya. Masukkanlah ke dalam Surga dan jauhkanlah dia dari adzab kubur dan siksa Neraka. Luaskanlah kuburnya, berilah dia cahaya di dalamnya.
Ya Allah, janganlah Kau cegah kami (mendapat) pahalanya dan janganlah Kau sesatkan kami sesudahnya."
Kalaulah aku punyai lebih masa walau seminit, akan aku ucap kata sayang dan cintaku pada mak bersungguh-sungguh, akan aku peluk dia sekuat hati, akan aku kucup tangannya sampai dia pergi.
Mak, terima kasih atas senaskah tebal doa mak untuk kami anak-anak mak sepanjang hayatmu. Untuk Sasa senaraikan segala yang mak telah lakukan dan korbankan, sangat lah tidak terkira. Hanya doa yang mampu Sasa kirimkan untuk mak, dengan harapan diri ini masih ada ruang dan peluang untuk menjadi anak yang solehah. Tenanglah dirimu di sana, mak. InsyaAllah di pintu syurga nanti kita bertemu. Al-fatihah.