Sunday, June 14, 2015

See You Again.

"How could we not talk about family,
When family is all that we got?"



Tak ada satu saat pun berlalu tanpa Mak dalam ingatan.
Tak ada satu hari pun pergi tanpa Mak dalam setiap doa.
Tak ada satu perkara pun yang Sasa buat tanpa Mak sebagai pendorong.
Tak ada satu malam pun tertinggal tanpa mengharapkan dapat bertemu Mak dalam mimpi.

Hebat betul penangan Mak.

Pedih sangat rasa hati bila mengenangkan ketiadaan Mak.
Kadang-kadang rasa macam nak pecah bila menahan rasa rindu yang terbuku.
Tak tahu nak luah pada siapa.
Takut kalau luah nanti ada hati-hati yang bimbang.
Takut kalau luah nanti ada yang tak mampu menanggung sama.
Takut kalau luah nanti penerimaannya terlalu kelat.
Sebab tengok kita hari-hari bersedih.

Memang Sasa tak kuat.
Menghadap kertas periksa pun terkulat-kulat.
Hati ni dah tak ada kat sini.
Nak balik sangat-sangat.
Nak duduk dekat dengan Abah, dekat dengan memori Mak.
Apa nak jadi, jadilah.

Mak,
Ramadhan dah dekat.
Ramadhan pertama tanpa Mak.
Sahur pertama tanpa Mak yang mengejutkan dari tidur.
Berbuka pertama tanpa air tangan Mak.
Terawikh pertama tanpa Mak di atas saf yang sama dengan Sasa.
Semuanya kali pertama yang menyakitkan.

Sasa doakan Mak sentiasa berada dibawah rahmat Allah.
Selalu.
Sampai bila-bila.
InsyaAllah amiin.

Mak, Sasa rindu..

Wednesday, June 10, 2015

Langit Tetap Biru.

Awan putih, awan gelap.
Langit biru, tetap biru.
Orang baru, orang lama.
Dunia tetap, tetap sama.


Mak, sekejap sangat rasanya Allah pinjamkan mak kepada kami sekeluarga. Sasa belum puas jaga mak. Belum puas bahagiakan mak. Belum puas peluk mak, cium mak. Macam baru semalam mak belai muka sasa sambil cakap "Kalau sasa balik, siapa nak tolong mandikan mak?"

Mak, sasa tahu mak lebih gembira di alam yang satu lagi. Tiada lagi sifat iri hati mulut jahat manusia-manusia yang menganiaya mak. Tiada lagi rasa sakit perit pedih mak menanggung sakit. Tiada lagi waktu-waktu sukar mak mencungap mencari nafas. Tiada lagi rasa letih penat mak bertarung dengan nyawa.

Mak, berat rasanya hati ni nak berpisah daripada mak. Doa-doa mak yang dulunya menjadi penyelamat sasa dalam waktu getir, dah pergi bersama roh mak. Macam mana lah hidup sasa lepas ni bila dah tak ada doa dari seorang ibu..

Mak, hari-hari sasa teringatkan mak, masakan mak, leteran mak, senyuman mak. If I could turn back the time, I would say my love to you more, be with you more often, make you laugh more, hug you more, kiss you more, I would give my all to you. Mak punca kekuatan sasa. Sasa takkan lupakan mak. Sampai bila-bila.

Mak, masa mak pergi, ramai orang datang menziarah. Rumah mak penuh dengan air mata. Sampai ke tepi-tepi jalan, halaman rumah, semua banjir dengan manusia yang tahu menilai kebaikan mak. Berebut-rebut semua nak tengok sucinya muka mak selepas dimandi dan dikapankan. Bersih sangat sangat. Wangi. Alhamdulillah, mak pergi dalam keadaan yang sangat senang dan tenang. Allah jemput mak dengan baik sekali subhanallah. 15 Shaaban. Hari baik, mak. Syukur.

Mak, terima kasih untuk segala yang mak lakukan buat kami sekeluarga. Terima kasih untuk setiap doa yang mak titipkan buat kami sepanjang hayat mak. Terima kasih untuk setiap air tangan mak yang membesarkan kami sebagai manusia berguna. Terima kasih mak. Untuk semua. InsyaAllah giliran kami pula untuk mengirimkan doa buat mak di sana.

Mak, jenguk-jenguklah kami di sini. Kalau ada peluang, nak sangat sasa jumpa mak dalam mimpi. Masih nak merasa hangatnya tangan mak mengusap pipi sasa. Masih nak merasa seronoknya dipeluk mak. Sasa rindu sangat kat mak. Rindu sangat.

Mak, rehatlah mak. Tempat yang lebih baik tu, insyaAllah nanti kita jumpa kat situ. I love you so much, mak.

Al-Fatihah.


Dalam ingatan, Surati Binti Japari. 10 Mei 1958 - 2 Jun 2015.